Friday, January 29, 2010

teknik rebonding - hakikat dan hukum




MUKADDIMAH

Sudah lama persoalan hukum teknik rebonding ditimbulkan. Cuma kesibukan dan sumber rujukan yang menyebabkan lambat untuk saya menulis tentangnya. Mudah2an dgn penulisan ini akan memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat agar mereka sentiasa berada di landasan kebenaran.

APAKAH ITU TEKNIK REBONDING

‘Rebonding’ merupakan sejenis teknik meluruskan rambut dengan menggunakan bahan kimia yang tertentu dan melalui proses yang tertentu. Bahan kimia tersebut akan mengurai struktur asal rambut dan membinanya kembali mengikut bentuk yang dikehendaki. Rambut yang melalui proses rebonding akan kekal dalam keadaan lurus sehinggalah rambut baru tumbuh.


Proses rebonding :


Proses ini mengambil masa lebih kurang 8 jam. Jika rambut lelaki biasanya 3 jam.

1. rambut dibasuh dengan syampu.

2. kemudian rambut dipisah-pisahkan dan dikenakan krim pelembut atau ‘relaxant’ untuk menjadikan rambut lurus. papan plastik kecil diletak bagi memastikan rambut kekal lurus

3. krim pelembut atau ‘relaxant’ tadi dibiarkan selama lebih kurang 30 minit, kemudian rambut dipanaskan dengan wap sebelum dibilas.

4. rambut dikeringkan dan dikenakan ‘keratin lotion’.

5. kemudian sejenis seterika khas untuk rambut yang mempunyai permukaan yang rata digunakan bagi memastikan seluruh rambut menjadi lurus, tiada saki baki yang tertinggal.

6. rambut dipisah-pisahkan sekali lagi, dan ‘neutraliser’ digunakan bagi mengukuhkan balik struktur rambut

7. neutralizer dibiarkan selama 30 minit dan dibilas. Kemudian ‘seterika khas’ digunakan sekali lagi dan rambut akan kelihatan lurus dan berseri.


Adakah rebonding membawa mudarat kepada rambut?


Krim pelembut atau ‘relaxant’ yang digunakan dalam teknik rebonding mengandungi unsur-unsur kimia yang mengubah struktur rambut dan boleh mengakibatkan rambut kering, lemah, dan masalah rambut gugur. Antara bahan kimia tersebut adalah sodium hydroxide, calcium hydroxide dan ammonium thioglycolate. Rambut yang dilakukan rebonding perlu mendapat penjagaan yang istimewa, jika tidak rambut tersebut akan mudah rosak.





MENGUBAH BENTUK ASAL RAMBUT MENURUT ULAMA

Ulama Syafie menyatakan bahawa mengkerintingkan rambut adalah perkara yang diharamkan melainkan sekiranya sudah berkahwin dan diizinkan oleh suaminya.

Imam Ramli (Ulama mazhab Syafie) berkata dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj:

"Dan diharamkan seorang wanita mengkerintingkan rambutnya. Sekiranya wanita itu mendapat keizinan suamniya (bagi yang bersuami) atau tuannya (bagi hamba) untuk mengkerintingkan rambutnya maka diharuskan. Ini kerana suami ada hak untuk mendapat perhiasan pada isterinya. Ini disebut dalam kitab Radatut Tolibin oleh Imam Nawawi." (Jilid 2 ms 25)

Menurut ulama, seperti mana haram mengkerintingkan rambut, begitu juga dengan meluruskan rambut.

SEBAB PENGHARAMAN

Ada dua sebab bagi pengharaman ini. Ianya adalah seperti berikut:

SEBAB PERTAMA: PENGUBAHAN

Rasulullah saw bersabda:

لعن الله الواشمات والمستوشمات والنامصات والمتنمصات والمتلفجات للحسن المغيرات خلق الله


“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang ditatu,pencukur kening dan orang yang dicukur kening,orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah” (Hr Bukhari Muslim)

Definasi pengubahan ciptaan Allah adalah seperti berikut:


إحداث تغييردائم في خلقة معهودة

Membuat perubahan kekal pada anggota yang normal

Menurut ulama , kekal disini tidak semestinya kekal selamanya. Pengubahan yang memakan masa berbulan-bulan juga dianggap sebagai pengubahan yang diharamkan sekiranya untuk kecantikan.

SEBAB KEDUA: PENIPUAN

Muawiyah berkata:

إن رسول الله صلى الله عليه وسلم بلغه فسماه الزور

" Sesungguhnya Rasulullah saw menamakan rambut palsu sebagai penipuan."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Bagi pengubahan rambut dengan teknik ini dianggap sebagai penipuan kerana manusia nampak seperti elok rambutnya padahal sebaliknya.

Kesimpulan:

Pengharaman ini untuk pengubahan yang ketara, dilihat jelas perbezaannya. dan berkekalan lama Adapun perubahan yang sedikit dengan bersikat, menggunakan gel dan dandanan rambut itu tidak dianggap perkara yang diharamkan. Malahan ini perkara yang disunatkan. Nabi saw bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

" Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya."

Hr Abu daud - hasan sahih

Rujukan: Nihayatul Muhtaj oleh Imam Ramli, Hafluz Zafaf Fil Feqhil Islami oleh Rafif Abdul Aziz Sabag, Al-Jarahah at-Tajmiliah oleh Dr soleh Fauzan. (terima kasih pd ikhwah yg cari maklumat tentang teknik rebonding)

Monday, January 18, 2010

Ketika manusia berlutut di depan neraka

Pada hari kiamat semua umat akan duduk berlutut. Mereka akan diberikan kitab amalan mereka: Allah menyalin semua yang kita akan lakukan didunia di dalam kitab untuk membalas segala perbuatan kita. Firman Allah swt:

وَتَرَى كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً كُلُّ أُمَّةٍ تُدْعَى إِلَى كِتَابِهَا الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Font size
Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalnya. Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.

هَذَا كِتَابُنَا يَنطِقُ عَلَيْكُم بِالْحَقِّ إِنَّا كُنَّا نَسْتَنسِخُ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

(Allah berfirman): "Inilah kitab (catatan) Kami yang menuturkan terhadapmu dengan benar. Sesungguhnya Kami telah menyuruh mencatat apa yang telah kamu kerjakan".

Ayat 28 - 29 surah al-Jathiah.

Ibnu kathir berkata:

Semua manusia duduk berlutut kerana terlampau terkejut dengan kedatangan neraka yang ditarik malaikat. Ketika berbunyinya hembusan nafas neraka, semuanya terduduk berlutut. Nabi ibrahim pun sama dan berkata "Diriku , diriku , diriku. Aku hanya meminta padamu untuk diriku sahaja. "

Sebab apa manusia semua terduduk berlutut ? ini sebab kedatangan neraka yang ditarik oleh jutaan malaikat. Firman Allah swt:

وَجِيءَ يَوْمَئِذٍ بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الْإِنسَانُ وَأَنَّى لَهُ الذِّكْرَى

"Dan pada hari itu didatangkan neraka Jahannam; dan pada hari itu manusia akan ingat amalannya yang lepas, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya." (23 : al-Fajr)

Jutaan Malaikat yang menarik neraka seperti mana yang diceritakan oleh baginda:

يؤتي بجهنم يومئذ لها سبعون ألف زمام مع كل زمام سبعون ألف ملك يجرونها

" Pada hari kiamat neraka jahanam aka di datangkan oleh para malaikat. Ia mempunyai 70 ribu tali penarik. Setiap tali akan ada 70 ribu malaikat yang menariknya."

Hadis sahih Muslim.

Aaaaaaaaaaaah... begitu dahsyat sekali neraka jahannam. Patutla semua , sehingga para Nabi pun terduduk. Manusia bukan sahaja terduduk. Malahan mereka menyesal diatas kecuaian yang mereka lakukan di dunia. Lihatlah sambungan ayat tadi. Tuhan berfirman :

يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي

(setelah didatangkan neraka) Dia berkata: "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini"

ayat 24 : al-Fajr

Seorang sahabat Nabi saw yang bernama Muhammad bin Abi 'Amirah berkata:

"Kalulah seorang hamba Allah itu merebahkan wajahnya ke bumi sejak ia dilahirkan sehingga dia mati dalam melakukan ketaatan nescaya dia tetap akan menghina dirinya pada hari kiamat dan berharap akan kembali ke dunia untuk menambahkan amalan dan pahala."

Hadis Mauquf dgn sanad sahih riwayat Imam Ahmad.

Dalam ayat 23 surah al-Fajr diatas tuhan menyatakan bahawa ketika neraka jahannam dibawa oleh malaikat barulah manusia teringat untuk beramal, tetapi tuhan jawab:

وَأَنَّى لَهُ الذِّكْرَى

"Dan apa gunanya manusia baru teringat ketika itu." (23 : al-Fajr)

Tuhan telah memberi manusia peluang yang cukup di dunia tetapi manusia tidak menggunakannnya , maka terimalah akibatnya pada hari kiamat. Firman Allah swt:

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَاءكُمُ النَّذِيرُ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِن نَّصِيرٍ

Dan mereka berteriak di dalam neraka itu : "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka) nescaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan(tuhan berkata)". Dan bukankah Kami telah memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan ? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun. (37 : al-Fatir)

Jadi hujjah Allah kepada ahli neraka ada dua:

Pertama: Allah sudah memberi umur dan masa yang cukup tetapi manusia sibuk dengan kepentingan dunia. Amalan agama pun diniatkan untuk dunia. Jadi setiap detik yang kita lalui ini amatlah berharga.

Kedua: Para pemberi peringatan dikalangan Rasulullah saw dan para ulama sudah memberi peringatan tetapi kita tidak mahu mendengarnya. Kita malas untuk ke majlis ilmu.

Pada ketika manusia berlutut di depan neraka , setiap manusia hanya memikirkan tentang dirinya sahaja. Manusia tidak memikirkan hal keadaan orang lain. Ibu bapanya, sanak saudara , rakan taulan, kekasih hati dan lain-lain. Semuanya sibuk dengan diri masing-masing. Firman Allah swt:

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ .وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ . وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ . لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

"pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari istri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. " (33-37 : Abasa)

KESIMPULAN

Marilakah kita sama2 menginsafi diri dan kembali pada tuhan. Tuhan bertanya bila hati kita hendak khusyuk dan diri kita hendak tunduk dengan ajaran tuhan. Firman Allah swt:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik." (16 : al-Hadid)

MARILAH KITA KEMBALI KEPADA TAAT DAN JAUH DARI MAKSIAT ZAHIR DAN BATIN. TAAT ITU KEJAYAAN DUNIA AKHIRAT SERTA MAKSIAT ITU MEMBAWA KEKECEWAAN DUNIA AKHIRAT

rujukan: Tafsir Ibnu kathir dan Ahwal Yaumil Qiamah oleh ibnu kathir.

Wednesday, January 13, 2010

Memboikot barangan Israel dan Amerika menurut Islam


1.MUKADDIMAH

Saya ada menerima foward mesej yang menunjukkan kepada artikel tentang face book. Saya tidak mahu membincangkan adakah ia adakah face book itu yahudi atau pun bukan dan apakah hukum menggunakan face book. Namun mata saya terpaku pada kenyataan dalam artikel tersebut yang berbunyi:

"Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM."

Saya agak terkejut dengan kenyataan dari pendakwah terkemuka di malaysia ini. Ini kerana kenyataan ini telah bertentangan dengan ulama-ulama di seluruh dunia. Oleh itu disini saya ingin mengemukakan pandangan ulama terhadap boikot barangan Amerika dan Israel.

2. BOIKOT ADALAH SENJATA DI ZAMAN NABI


Kita lihat bagaimana kisah Thumamah bin athal ra ثمامة بن أثال yang baru masuk Islam telah memboikot orang-orang musyrikin di mekah. Setelah masuk Islam , beliau berkata:

والله لا يأتيكم من اليمامة حبة حنطة حتى يأذن فيها رسول الله صلى الله عليه وسلم

"Demi Allah tidak akan datang kepada kamu (kaum Quraisy) sebiji gandum pun dari Yamamah sehingga Rasulullah saw izinkan."

Hadis SAHIH Bukhari Muslim.

Sepertimana diketahui beliau adalah penghulu Yamamah.

Dalam hadis lain menyebut:

فانصرف إلى بلده ومنع الحمل إلى مكة حتى جهدت قريش فكتبوا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يسألونه بأرحامهم أن يكتب إلى ثمامة أن يخلي إليهم حمل الطعام ففعل رسول الله صلى الله عليه وسلم

" Lalu Thumamah pun pulang ke kampungnya dan menegah untuk dibawa barang dagangan ke Mekkah sehinggalah orang Quraisy kemelaratan . Lalu orang-orang Quraisy menulis kepada Rasulullah saw meminta dengan berkat hubungan persaudaraan supaya thumamah membiarkan barang makanan sampai kepada mereka. Rasulullah saw memperkenankan permintaan mereka."

hadis HASAN riwayat Imam Baihaqi dan Ahmad.

INI ADALAH DALIL YANG KUKUH TERHADAP PENSYARIATAN BOIKOT TERHADAP MUSUH-MUSUH ISLAM. KALAULAH ORANG MUSYRIKIN MASIH MENINDAS NABI DAN PARA SAHABAT KETIKA ITU MESTILAH NABI SAW AKAN MENERUSKAN PEMBOIKOTAN ITU.

3. MELEMAHKAN EKONOMI MUSUH ISLAM ADALAH SUNNAH NABI

Cara melemahkan ekonomi musuh yang dilakukan pada zaman Nabi saw ada dua cara.

Cara pertama:

Dengan menghantar pasukan tentera untuk peperangan badar bagi menghalang rombongan perniagaan mereka. Begitu mengambil harta orang kafir (ghanimah) setiap kali lepas perang juga adalah bertujuan melemahkan ekonomi mereka. Nabi saw dan para sahabat juga telah memusnahkan tanaman orang yahudi Bani Nadhir sedangkan asalanya Nabi saw menegah untuk dimusnahkan tanaman orang kafir. Ini semua adalah untuk melemahkan ekonomi mereka.

Cara kedua: Dengan DOa

Nabi saw telah mendoakan kepada orang-orang Quraisy:

اَلَّلهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَيْهِمْ بِسَبْعِ كَسَبْعِ يُوْسُفَ

"Ya Allah bantulah aku untuk memusnahkan mereka dengan engkau menjadikan mereka فtujuh tahun mereka seperti mana tujuh tahun yang menimpa Nabi Yusuf (tujuh tahun kemarau)."

Maka mereka ditimpa dengan kemarau sehinggalah ada yang makan bangkai. Lalu Abu Sufyan berkata kepada Nabi saw: "Hai Nabi, sesungguhnya Kaum mu telah binasa. Doalah supaya Allah menghilangkan kemarau ini."

Hadis SAHIH riwayat Bukhari dan Muslim.

4. MEMANGLAH ASAL BERMUAMALAH DENGAN MERKA ITU HALAL TAPI IA BERUBAH DENGAN KEADAAN

Pihak yang tidak mahu memboikot menyatakan bahawa tidak perlu boikot kerana Nabi saw juga bermuamalah dengan orang yahudi. Ini memang jelas bahawa kita boleh berusan dengan orang kafir tidak kira apa agama sekalipun. Hubungan kita dengan mereka adalah hubungan kemanusian. Ini jelas melalui Firman Allah swt:

"ALlah tidak melarangkamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap org2 kafir yang tidak memerangimu kerana agamamu dan tidak mengusirmu dr kampung halamanmu.ssghnya ALLAH mencintai org2 yg berlaku adil." (8 : al-Mumtahanah)

Namun dalam ayat seterusnya menjelaskan kita dilarang untuk berbaik dengan orang yang memerangi dan mengusir umat Islam. Firman Allah swt:

"ssghnya Allah hanya melarangkamu menjdkan org2 yg memerangi mu kerana agama mu dan mengusir mu dr kampung halamanmu dan membantu utk mengusir mu sebagai kawanmu (dengan membantu mereka).barangsiapa yg menjdkan mereka sbg kawan ,mereka itulah org yg zalim." (9: al-Mumtahanah)

Penindasan dan kezaliman Israel dan Amerika terhadap umat Islam adalah perkara yang amat jelas. Oleh itu kita jangan bermudah-mudah untuk keluarkan hukum. Setiap keadaan dan masa itu mempunyai hukum yang tersendiri. Kita hendaklah menyerahkannya pada Ulama.

5. PANDANGAN ULAMA TERHADAP BOIKOT

Para ulama seluruh dunia menyatakan kewajipan boikot baragan Yahudi dan Israel. Diantaranya ialah Bekas mufti Mesir Dr Nasr Farid al-Wasil, Ulama saudi albani dan syeikh Abdullah Jibrin, ulama Lubanan Syeikh Faisal Maului, Ulama-ulama India dan yang paling tegas ialah ulama haraki DR YUSUF QARDAWI.

Dr Yusuf Qardawi berkata:

"Diantara cara membantu umat Islam di Palestin adalah dengan memboikot barangan musuh dengan sempurna (bukan pilih2). Setiap ringgit dan sen yang kita gunakan untuk membeli barangan mereka adalah dianggap peluru yang menembusi dada2 saudara2 dan anak2 kita di palestin.

Oleh kerana yang demikian wajib atas kita untuk tidak membantu musuh-musuh yang menindas Umat Islam dengan membeli barangam mereka. Ini kerana ia termasuk dalam perkara membantu diatas perkara permusuhan dan dosa.

Barang-barang buatan Amerika seumpama barang-barang Israel dari segi wajib diboikot. Pada hari ini Amerika adalah Israel yang kedua."

5. KESIMPULAN

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kebaranian seorang Doktor dari Jordan yang telah meletupkan dirinya di Afghanistan yang membunuh tujuh pegawai perisikan Amerika CIA. Umurnya masih muda (30an) dan mempunyai isteri yang cantik (orang turki). Doktor ini sanggup mengorbankan jiwanya demi Islam tetapi mengapa kita tidak mampu walau hanya dengan memboikot barangan musuh Islam kerana tuntutan Nafsu. Firman Allah swt:

"Maka kamu akan lihat orang-orang yang berpenyakit nifak dalam hati mereka segera menjadikan orang-orang yahudi dan nasrani sebagai teman dan membantu mereka, mereka berkata sebagai alasan "Kami takut akan ditimpa bencana atau mereka mengalahkan orang-orang Islam." Maka pastilah Allah akan memberi kemenangan kepada umat Islam atau Allah akan memusnahkan orang-orang yahudi dan nasrani yang menyebabkan orang-orang munafik itu menyesal terhadap apa yang mereka lakukan (menolong yahudi dan nasrani)." (52 : al-Maidah)

JADI JELAS DARI AYAT INI MEMBANTU YAHUDI DAN NASRANI YANG MEMUSUHI DAN MENINDAS UMAT ISLAM ADALAH PERBUATAN ORANG-ORANG MUNAFIK.

Rujukan: al-Quran , al-Muqataah as-Syariyyah wa Dawabitul Mumarasah oleh Dr Khalid Abdul Qadir dan Fatawa min Ajli Palastin oleh Dr Yusuf Qardawi.


Sunday, January 3, 2010

Doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi


PANDANGAN AL-QURAN Allah swt telah berfirman:

لا يحب الله الجهر بالسوء من القول إلا من ظلم وكان الله سميعا عليما

" Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu maha mendengar dan maha mengetahui." ( 148 : an-Nisa)

Ibnu Abbas r.a telah mentafsirkan ayat ini: "ALLAH TIDAK SUKA SESEORANG MENDOAKAN KEBURUKAN KEPADA SESORANG YANG LAIN KECUALI ORANG YANG DIZALIMI. SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMBERIKAN KEBENARAN KEPADANYA UNTUK MENDOAKAN KEBURUKAN KEPADA ORANG YANG DIZALIMI. JIKA DIA BERSABAR MAKA ITU LEBIH BAIK BAGINYA." Qatadah berkata: ALLAH MEMBERIKAN KELONGGARAN KEPADA ORANG YANG DIZALIMI UNTUK MENDOAKAN KEBURUKAN. INI SEPERTI MANA YANG KAMU DENGAR. PANDANGAN RASULULLAH

Banyak hadis2 Rasulullah berkenaan dengan doa kepada orang yang dizalimi. Ini adalah diantara doa yang mustajab doanya. Diantara hadis-hadis tersebut adalah:-
1. Hadis dari Anas r.a , Rasulullah saw bersabda:

اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب

" Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah."
Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan

2. Hadis dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah saw bersabda:

اتق دعوة المظلوم فإنها تصعد إلى السماء كأنها شرارة

"Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."


Hadis riwayat Hakim - sanad sahih


3. Hadis dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah saw bersabda:

اتقوا دعوة المظلوم فإنها تحمل على الغمام يقول الله عز وجل : وعزتي وجلالي لأنصرنك ولو بعد حين

" Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Allah swt berkata : Demi kemulian dan keagunganku, aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan

4. Hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:

ثلاث دعوات مستجابات : دعوة الصائم ودعوة المظلوم ودعوة المسافر

" Tiga doa yang diperkenankan: Doa orang puasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir."
Hadis riwayat Baihaqi - sahih

5. Hadis dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

دعوة المظلوم مستجابة وإن كان فاجرا ففجوره على نفسه

" Doa orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun doa dari orang yang jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan pada doa tadi." Hadis hasan riwayat at-Tayalasi

HUKUM DOA KEBURUKAN KEPADA ORANG YANG MENZALIMI


Imam Nawawi telah meletakkan satu tajuk dalam kitabnya al-Azkar:


"BAB: HARUS BAGI SEORANG MANUSIA UNTUK MENDOAKAN KEBURUKAN KEPADA ORANG YANG MENZALIMI ORANG-ORANG ISLAM ATAU MENZALIMI DIRINYA SENDIRI."


Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata di bawah tajuk ini:

" Maksud harus yang disebut imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdoa sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."

Dalil pengharusan.

Ini jelas melalui ayat al-Quran 148 surah an-Nisa mengikut tafsiran Ibnu Abbas seperti yg telah dinyatakan sebelum ini. Adapun hadis Rasulullah saw adalah hadis berikut:

أنه صلى الله عليه وسلم دعا على الذين قتلوا القراء رضي الله عنهم وأدام الدعاء عليهم شهرا يقول: اللهم العن رعلا وذكوان وعصية

" Sesungguhnya Nabi saw mendoakan kecelakaan kepada orang-orang yang membunuh penghafaz-penghafaz al-Quran ra dan sentiasa mendoakan kecelakaan kepada mereka selama sebulan. Baginda berdoa : Ya Allah laknatilah Ri'l, zakwan dan 'usayyah (nama2 kabilah)."

Hadis sahih Bukhari dan Muslim


Dizaman pemerintahan Umar ra , beliau telah melantik Saad bin Abi Waqas ra sebagai gabenor Kufah. Ada seorang lelaki yang bernama Usamah bin Qatadah atau Abu Sa'dah telah menuduh Sa'ad dengan kata2nya:


أما إن نشدتنا فإن سعدا لا يسير بالسرية ولا يقسم بالسوية ولا يعدل في القضية

" Sekiranya kamu bertanya kami tentang sa'ad, sesungguhnya dia tidak menyertai peperangan, tidak menyamaratakan pemberian dan tidak berlaku adil dalam hukuman."


Lalu Sa'ad berdoa:

اللهم إن كان عبدك هذا كاذبا قام رياء وسمعة فأطل عمره وأطل فقره وعرضه للفتن

" Ya Allah sekiranya hamba mu ini pembohong dan melakukannya semata kerana riya' dan sum'ah maka hendaklah engkau panjangkan umurnya, kekalkan kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah."


Kemudian setelah tua, lelaki yg menuduh saad ra berkata " Aku telah terkena bencana akibat doa Sa'ad." "Abdul Malik bin Umair ra perawi hadis ini berkata: Aku melihat lelaki tadi (qatadah) selepas dia tua, dua bulu keningnya telah gugur kerana terlampau tua , dia telah menganggu perempuan-perempuan muda dengan meraba dan meramas mereka.

"
Hadis sahih Bukhari dan Muslim.

Seorang wanita bernama Arwa binti Aus telah mengadu kepada khalifah Marwan bin Hakam tentang Sa'id bin Zaid ra. Dia mendakwa Sa'ad ra telah mengambil sebahgian dari tanahnya. Lalu Sa'ad berkata : Adakah aku tergamak mengambil sebahgian dari tanahnya sedangkan aku telah mendengar sesuatu dari Rasulullah saw?" Marwan bertanya " Apa yang engkau dengar dari Rasulullah saw ?" Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:

من أخذ شبرا من الأرض ظلما طوقه إلى سبع أرضين

" Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah swt akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi."


Lalu Marwaى berkata "Aku tidak akan memintamu mendatangkan saksi selepas ini." Sa'id pun berkata:

اللهم إن كانت كاذبة فأعم بصرها واقتلها في أرضها

"Ya Allah sekiranya wanita tadi berbohong maka hendaklah engkau butakan matanya dan bunuhlah dia di tanahnya. "


Wanita tadi tidak mati sehinggalah dia buta dan ketika mana dia berjalan di atas muka tanah milikinya, tiba-tiba dia jatuh di dalam lubang, lalu mati."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.


KESIMPULAN

Berhati2lah terhadap doa orang yang menzalimi. Penyair berakata:

نامت جفونك والمظلوم منتبه يدعو عليك وعين الله لم تنم

Mata-matamu tidur dan orang yang dizalimi sentiasa berjaga

Dia mendoakan kecelakaan kepadamu dan Allah itu tidak tidur


Rujukan: Da'watul Mazlum oleh Abdur Rahman Yusuf dan Futuhat Rabbaniah oleh Ibnu Allah as-Siddiqi.

Tuesday, December 22, 2009

Jangan jadi macam pelita atau lilin






Mungkin kita selalu dengar perumpamaan yang mengumpamakan guru seumpama lilin. Lilin membakarkan dirinya untuk menerangi orang yang disekitarnya. Ia disamakan guru yang mengorbankan dirinya demi kepentingan orang lain. Namun Islam menyanggah perkara ini sekiranya ia bermaksud menyampaikan ilmu kepada orang lain tetapi melupakan diri sendiri untuk beramal. Nabi saw bersabda:

مَثَلُ الَّذِيْ يُعَلِّمُ النَّاسَ الْخَيْرَ وَيَنْسَى نَفْسَهُ كَمَثَلِ السِّرَاجِ يُضِيْءُ لِلنَّاسِ وَيَحْرِقُ نَفْسَهُ

"Perumpamaan orang yang mengajar kebaikan kepada manusia lain dan melupakan dirinya untuk diamalkan seumpama pelita yang menerangi manusia lain dan membakar dirinya sendiri."

Hadis ini diriwayat oleh Imam at-Thabrani dalam Mu'jam Kabir. Imam Manawi menghukum hadis ini sebagai HADIS HASAN. Imam Haithami mengatakan para perawinya adalah thiqah.

KEADAAN PELITA DAN LILIN ADALAH SAMA

MEREKA YANG TERMASUK DALAM PELITA YANG MEMBAKAR

1) Penceramah yang melupakan dirinya.

Tidak ada siapa yang mampu untuk beramal dengan semua apa yang disampaikan. Namun bagi penceramah yang hanya hendak menambahkan ilmunya dan mengajak manusia kepada kebaikan tetapi tidak sama-sama mahu memperbaiki dirinya sendiri maka inilah yang dicela dalam Islam. Nabi saw bersabda:

إن أخوف ما أخاف عليكم بعدي كل منافق عليم اللسان

" Sesungguhnya perkara yang amat aku takuti berlaku kepada kamu selepas kewafatanku adalah orang munafik yang pandai bercakap (tapi tidak mengamalkannya)." (Hr Thabrani, Bazzar dan Ahmad - SAHIH)

2) Penulis yang melupakan dirinya

Hari ini telah timbul penulis-penulis bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kewujudan-kewujudan blog dakwah dan yang Islamik semakin banyak. Namun gejala sosial semakin berleluasa. Ini menunjukkan keberkesanan yang kurang akibat islam hanya ada pada blog tetapi tidak ada pada amalan seharian. Kalau kita lihat dalam blog seolah blogger tadi seorang yang hebat dari segi ilmu dan amalannya. Namun realiti yang terjadi hubungan manusia dengan tuhannya amat lemah. Mereka menyuruh dan menggalakkan orang lain berbuat baik tetapi mereka sendiri tidak melakukannya. Islam hanya pada tulisan dan bukannya pada hati dan anggota. Nabi saw bersabda:

يجاء بالرجل يوم القيامة قيلقى في النار فتندلق أقتابه فيدور بها كما يدور الحمار برحاه فتجتمع أهل النار عليه فيقولون : يا فلان ما شأنك؟ ألست تأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر ؟ فيقول : كنت آمركم بالمعروف ولا آتيه وأنهاكم عن الشر وآتيه

" Didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat lalu dicampakkan kedalam neraka. Usus-ususnya keluar dan berputar-putar seperti mana keldai berputar dalam tempat pengisar. Para penghuni neraka berkumpul mengerumuninya dan bertanya "Bukankah engkau menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran?" Dia menjawab " Aku menyuruh kebaikan serta tidak melakukannya dan mencegah kemungkaran serta tidak meninggalkannya."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

3) Penganjur program kebaikan yang melupakan dirinya

Menganjurkan program kebaikan adalah suatu perkara yang amat baik. Semua prgram tersebut adalah semuanya bertujuan untuk mengembalikan manusia kepada Allah dan mendekatkan diri kepada ilahi. Namun yang kita lihat orang-orang yang sibuk prgram ,tetapi dalam masa sama kurang hubungan mereka dengan tuhan. Balik lewat malam dan tahajudnya tiada dan subuh lewat di rumah. Hanya bersungguh memprgramkan orang lain tetapi lupa untuk memprgramkan diri bersama tuhan. Saidina Umar ra berkata:

لئن نمت الليل لأضيعن حق الله ولئن نمت النهار لأضيعن حق الرعية

" Kalau aku tidur waktu malam aku meyia2kan hak Allah dan kalau aku tidur waktu siang aku akan menyia-nyiakah hak rakyat."

KESIMPULAN

Marilah kita menyampaikan ilmu dan mengamalkan ilmu sedaya mungkin. Menyembunyikan ilmu dilarang oleh Islam. Nabi saw bersabda:

من كتم علما ألجمه الله يوم القيامة بلجام من نار

" Sesiapa yang menyembunyikan ilmunya , Allah akan mengekang dirinya dengan kekangan dari neraka pada hari kiamat. " (Hr Ibnu Hibban dan Hakim - sahih)

Menyampaikan ilmu dengan berceramah, menulis atau menganjurkan prgram sahaja tanpa ada usha untuk beramal dan memperbaiki diri adalah dilarang dalam Islam. Nabi saw bersabda:

مررت ليلة أسري بي بأقوام تقرض شفاههم بمقاريض من نار قلت : من هؤلاء يا جبريل؟ قال : خطباء أمتك الذين يقولون ما لا يفعلون

" Pada malam isra' aku telah lalu pada sekumpulan manusia yang dipotong lidahnya dengan gunting-gunting dari neraka. Aku bertanya "Siapakah mereka wahai jibril?" Jibril menjawab " Mereka adalah penceramah-penceramah dikalangan ummatmu yang berkata apa yang mereka tidak lakukan."

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

perhatian: Penulis mengucapkan Jazakumullah khairan Kathira kepada yang telah menyumbang untuk membeli buku-buku rujukan terutama ibu bapa dan pelajar-pelajar medic mansurah. Dialu2kan untuk sumbangan kerana banyak lagi buku2 yang diperlukan.

Rujukan: Muntaqa at-Targhib Wat-Tarhib oleh Dr Yusuf al-Qardawi.

Saturday, December 12, 2009

Hukum tepuk tangan



Pengarang kitab حفل الزفاف في الفقه الإسلاميberkata:


Sesungguhnya tepuk tangan bila dilihat dari segi hakikatnya adalah suatu perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor kepada perbuatan tepuk tangan itu dilakukan. Sesiapa yang bertepuk tangan kerana untuk memberi peringatan maka perkara tersebut adalah harus.


Pengarang ini merujuk kepada sebuah buku dalam mazhab Syafie iaitu kitab حاشية الشبراملسي . Bila dilihat dalam kitab tersebut ada dinukilkan dari kitan فتح الجواد karangan Imam Ibnu Hajar Haitami:


“Diharuskan tepuk tangan dengan kedua tapak tangan sekalipun ditujuan untuk bermain-main, sekalipun ia dianggap sebagai bentuk nyanyian.”


TEPUK TANGAN KETIKA MENDENDANGKAN LAGU


Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan masalah ini:


PENDAPAT PERTAMA: Haram tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi dan sebahgian ulama Syafie.


PENDAPAT KEDUA: Makruh tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat utama dalam mazhab Syafie dan pendapat mazhab Maliki.


DALIL PENDAPAT PERTAMA:


1. Firman Allah swt:


وما كان صلاتهم عند البيت إلا مكاء وتصدية


“ Cara ibadah dan solat orang-orang musyrikin di sekeliling ka’bah hanyalah dengan bersiul dan bertepuk tangan.” (35 : al-Anfal)


Bentuk pengambilan dalil:: Bertepuk tangan adalah dari perbuatan orang-orang musyrik. Orang bertepuk tangan meniru perbuatan orang-orang musyrikin.


2. Bagi orang lelaki dilarang kerana ia menyerupai perbuatan wanita dalam solat. Nabi saw bersabda:


إنما التصفيق للنساء


“Tepuk tangan dalam solat (untuk menegur imam) hanyalah untuk perempuan.” (Hr Bukhari dan Muslim)


JAWAPAN KEPADA TERHADAP DALIL


  1. Jawapan terhadap pendalilan yang pertama adalah: Ayat ini menunjukkan perngharaman dan larangan beribadah dengan bertepuk tangan. Ia bukan pengharaman tepuk tangan di luar ibadah.
  2. Jawapan kepada pendalilan yang kedua adalah: Hadis ini mengkhusukan tepuk tangan untuk wanita dalam solat sahaja.

KESIMPULAN


Hukum bertepuk tangan adalah mengikut kepada sebab bertepuk tangan. Ianya ada 4 seperti berikut:


1. TEPUK TANGAN DALAM SOLAT BAGI WANITA UNTUK PERINGATAN: Para ulama bersepakat ianya disyariatkan.

2. TEPUK TANGAN UNTUK IBADAT SEPERTI DALAM SOLAT, ZIKIR DAN TAWAF: Ianya dilarang berdasarkan ayat Quran yang telah lepas.

3. TEPUK TANGAN UNTUK NYANYIAN: ada yang mengharamkan dan ada yang memakruhkan. Apa yang difatwakan Dr Yusuf Qardawi dalam kitab فقه اللهو والترفيه adalah harus hukumnya kerana tidak ada dalil yang melarangnya.

4. TEPUK TANGAN UNTUK MEMBERI SEMANGAT ATAU RASA KAGUM: Ini juga dibenarkan kerana ia diperlukan. Pengarang kitab الموسوعة الفقهية الكويتية mengatakan:



“ Tepuk tangan di luar solat dan khutbah adalah diharuskan sekiranya untuk keperluan yang dibenarkan syara’ seperti minta izin untuk masuk, memberi peringatan, mengelokkan persembahan nasyid atau wanita yang bermain dengan kanak-kanak.”

Rujukan:

1. Fiqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi

2. Haflu Zafaf fil Fiqh Islami oleh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh

3. Mausu’ah Fiqhiyyah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Kuwait

4. Hasyiah Ali Syabramalsi ala Nihayatil Muhtaj

5. Sofwatul Tafasir oleh Muhammad Ali As-Sobuni

Saturday, December 5, 2009

Rawatan kecantikan dalam Islam




Mukaddimah


Pada zaman yang serba moden ini,kita dapat melihat betapa banyaknya kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan rawatan kecantikan yang muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan.Antara rawatan-rawatan kecantikan yang terdapat pada masa kini adalah teknik rebonding, hair transplantation dan botox,Rawatan-rawatan ini sudah tentu menjadi pilihan ramai orang tidak mengira latak belakang agama mahupun bangsa.Namun begitu Islam agama yang syumul tidak menghalang penganutnya untuk menjalani rawatan kecantikan ini,tetapi hendaklah berpandukan pada syariat yang telah ditetapkan.


Dalil pengharusan


Islam secara umumnya mengharuskan penganutnya menjalani rawatan kecantikan ini.Berikut adalah dalil-dalil keharusan untuk menjalani sesuatu rawatan:


seorang arab badwi datang kepada rasulullah SAW bertanya,”ya Rasulullah perlukan kita berubat?” Rasulullah SAW menjawab.”ya,wahai hamba-hamba Allah taala hendaklah kamu berubat”(HR Ahmad)


Berbekam adalah satu bentuk daripada penbedahan kecil,ianya dibenarkan oleh Rasulullah SAW.Rasulullah SAW bersabda:


إن فيه شفاء


“Sesungguhnya berbekam ini adalah satu penawar”(HR Bukhari dan Muslim)


Etika rawatan kecantikan (beauty treatmant) menurut Islam

Rawatan yang dijalankan hendaklah mengikut syarat-syarat berikut:


1. bukan untuk mengubah ciptaan Allah.


Firman Allah:

“(syaitan berkata) Akan aku suruh hamba-hambamu agar mereka mengubah ciptaan Allah.Dan demi sesungguhnya,aku akan menyesatkan mereka(dari kebenaran),dan demi sesungguhnya aku akan memperdaya mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka(mencacatkan binatang-binatang ternakan),lalu mereka membelah telinga binatangg-binatang itu;dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.Dan ingatlah sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah,maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata” ( 118 dan 119: an-Nisa)


Nabi saw bersabda:


لعن الله الواشمات والمستوشمات والنامصات والمتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله


“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang ditatu,pencukur kening dan orang yang dicukur kening,orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah” (Hr Bukhari Muslim)

Contoh-contoh mengubah ciptaan Allah adalah kasi,tatu,mewarna uban menggunakan pewarna hitam dan lain-lain lagi.

2.Tidak ada penipuan .

Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W:

“Allah melaknat orang yang perempuan yang menyambung rambut dan orang yang meminta untuk menyambungkan rambut”(HR Bukhari dan Muslim)

Khatobi berkata “sesungguhnya akibat yang buruk (laknat) pada perkara ini kerana ia satu bentuk penipuan”.

3.Tidak menyerupai jantina yang berlainan.

Ia bermakna bahawa rawatan kecantikan yang dilakukan hendaklah tidak mengakibatkan sesuatu bahagian pada badan pesakit menyerupai jantina yangg bertentangan dari jantina yang sebenar.Misalnya,rawatan kecantikan yang dilakukan ke atas dada pesakit lelaki hendaklah tidak menyebabkan bentuk yang asal berubah atau menyerupai bentuk dada wanita. Rasulullah saw bersabda :

“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki”.(HR Bukhari dan Muslim)

4.Tidak berniat untuk menyerupai orang yang bukan Islam.

Hendaklah juga rawatan kecantikan yang dilakukan tidak beniat untuk menyerupai dan meniru segala yang berkaitan dengan orang yang bukan Islam.Rasulullah S.A.W bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم

“sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, mereka termasuk dalam golongan kaum itu”.(HR Abu Daud)

5.Tujuan rawatan kecantikan adalah untuk mengembalikan bahagian yang mengalami kecacatan kepada keadaan yang normal .

6.Jika rawatan melibatkan pembedahan,hendaklah ia mempunyai syarat-syarat seperti berikut:

a. ia diperlukan untuk mengubah kecacatan.

b. keizinan pesakit atau penjaganya

c. Dilaksanakan oleh pengamal perubatan yang berkelayakan

d. Peratusan kejayaan pembedahan adalah tinggi dan tidak memberi kemudaratan

e. Tidak ada pilihan yang lain

7.Tidak menggunakan najis dan perkara-perkara yang diharamkan ketika melakukan .


Penutup


Ini adalah syarat-syarat secara untuk melakukan rawatan kecantikan atau plastic surgery dalam Islam. Ia memerlukan perbincangan secara khusus bagi setiap rawatan dan pembedahan yang hendak dilakukan. Oleh itu saya akan membahaskannya pada masa bg setiap tajuk dalam permasalahan ini pada masa akan datang insyaAllah.

Rujukan: az-Zinah wat Tajammul wa Ahkamuha oleh Dr Khalaf Jawwad danAl-Jarahah Tajmiliah oleh saleh Fauzan.